Lesen Perniagaan
Mengikut Undang-Undang Kecil Melesen Tred, Perniagaan Perindustrian dan lain-lain Profesion (Majlis Daerah Jempol) 1981, seseorang yang hendak mengeluarkan apa-apa tred, perniagaan, perindustrian atau profesion di dalam kawasan operasi Majlis Daerah Jempol perlu mendapatkan lesen daripada Yang Di Pertua dengan dikenakan bayaran sepertimana yang telah ditetapkan. Kelulusan lesen perniagaan adalah tertakluk kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Lalulintas, Gerai dan perlesenan dan disahkan di dalam Mesyuarat Majlis.
Memohon Lesen Perniagaan
Seseorang yang ingin memohon lesen perniagaan perlu mengumukakan permohonannya kepada Majlis Daerah Jempol dengan menggunakan borang yang boleh didapati di Pejabat Majlis Daerah Jempol. Permohonan perlu disertakan dengan salinan kad pengenalan dan gambar berukuran pasport sebanyak 3 keping.
Setiap permohonan yang dikemukakan akan diproses dan dihantar ke jabatan-jabatan teknikal yang berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan, Pejabat Tanah, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kerja Raya untuk mendapatkan ulasan. Ulasan-ulasan daripada jabatan teknikal ini penting dalam membuat keputusan untuk kelulusan lesen perniagaan. Keputusan akan dikeluarkan secara bertulis kepada pemohon dalam jangka masa kurang daripada 3 bulan. Walaubagaimanapun pihak Majlis Daerah Jempol boleh mengeluarkan lesen sementara kepada pemohon bagi perniagaan yang mengikut budibicara majlis tidak kritikal untuk di jalankan bagi membolehkan pemohon menjalankan perniagaan, sementara menunggu kelulusan lesen sebenar.
Peringatan
Pemegang lesen bagi mana-mana premis di dalam kawasan operasi MDJL adalah perlu mengikuti kehendak-kehendak dan peraturan yang diperuntukkan yang dikeluarkan oleh pihak MDJL dari masa ke semasa. Kegagalan untuk mematuhi mana-mana peraturan yang telah diperuntukkan, boleh dibatalkan, dipotong dan digantung lesennya oleh YDP pada bila-bila masa tanpa memberi apa-apa sebab.