MENU

Mempamerkan Iklan

Mengikut Undang-Undang Kecil Iklan (Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Sembilan) 1992, tiada seorang pun boleh mempamerkan apa-apa iklan tanpa lesen yang dikeluarkan oleh Majlis selain daripada iklan-iklan yang dikecualikan dibawah undang-undang kecil 18. iklan ini juga merujuk kepada iklan kain rentang, banting atau apa-apa jenis iklan yang dimansuhkan dibawah undang-undang kecil tersebut.

Memohon Mempamerkan Iklan

Seseorang yang ingin membuat permohonan mempamerkan iklan perlu memastikan bahasa yang digunakan adalah Bahasa Malaysia dan ditulis dengan betul. Jika terdapat lebih dari satu bahasa digunakan selain dari bahasa Malaysia, kedudukan iklan dalam bahasa Malaysia hendaklah diberi keutamaan dan saiznya lebih besar daripada lain-lain bahasa. Jika syarat ini tidak diikuti, permohonan tersebut akan ditolak serta-merta.

Setiap permohonan untuk mempamerkan iklan hendaklah menggunakan borang khas yang boleh didapati di Pejabat Majlis Daerah Jempol. Bagi permohonan iklan yang berbentuk kain rentang atau banting, pemohon dikehendaki membawa semua iklan tersebut semasa permohonan dibuat untuk pemeriksaan. Kelulusan akan diberikan pada masa permohonan itu setelah pegawai penjaga berpuashati dengan iklan yang hendak dipamerkan. Pihak Majlis akan mengeluarkan satu pelekat kelulusan dan akan dilekatkan pelekat tersebut pada setiap helaian kain rentang atau banting yang dikemukakan. Papan iklan untuk ditempatkan di premis tidak perlu dibawa semasa permohonan dibuat. Bayaran akan dikenakan berdasarkan jenis, saiz dan bilangan iklan yang hendak dipamerkan. Lesen untuk mempamerkan papan iklan akan diberikan untuk jangka masa selama satu tahun dan lesen perlu diperbaharui apabila tamat tempoh. Sementara jangka masa lesen untuk mempamerkan iklan yang berupa kain rentang atau banting diberikan selama satu bulan sahaja. Jika pemohon ingin memperbaharui lesen tersebut, mereka perlu mengemukakan kembali kain rentang atau banting tersebut kepada pihak Majlis. Pihak Majlis akan memberikan kelulusan hanya kepada kain rentang atau banting yang didapati masih elok dan bersih.

Peringatan

Pemasangan iklan hendaklah tidak menghalang lalulintas. Pemasangan iklan di premis atau harta yang bukan milik Majlis Daerah Jempol adalah perlu mendapatkan kebenaran daripada pemiliknya terlebih dahulu. Kain rentang atau banting yang dipamerkan perlu diturunkan oleh pemohon apabila tamat tempoh. Sekiranya didapati kain rentang atau banting tersebut tamat tempoh atau tidak mempunyai pelekat kelulusan, pihak Majlis akan mengambil tindakan menurunkan dan merampas wang deposit pemohon. Denda akan dikenakan bagi sesiapa yang ingin mendapatkan kembali iklan yang telah diturunkan tersebut.